Sunday, January 20, 2013

Analisis semasa dan masa hadapan Chelsea: Yang perlu Diakur dan yang perlu Dibangkang


Stamford Bridge yang aman makmur


Sebelum menyinggung mana-mana pihak tulisan ini adalah pandangan peribadi semata-mata.

“Chelsea is the world`s most frustrating club to support”

Ini adalah kata-kata dari salah seorang penyokong Chelsea.

Apa yang dimaksudkan oleh penyokong diatas ialah, merujuk kepada Roman Abramovich dan pengurusannya yang bertindak berlawanan dengan kehendak penyokong. Dan mungkin juga Chelsea sering menjadi mangsa malang yang bertimpa-timpa. Namun penyokong Chelsea tidak pernah berpaling dan berterusan memberi sokongan walau apa jua yang berlaku sekalipun. Bersama-sama menghadapi cabaran dan tekanan dari pihak luar dan pihak dalam Chelsea itu sendiri.

Kata orang cinta itu buta anda tidak akan nampak apa jua kelemahan dan kekurangan mereka apabila anda cinta. Jika anda penyokong begini, maknanya anda cintakan Chelsea. Ada beberapa isu yang perlu kita bincangkan untuk menjadikan Chelsea pasukan yang lebih baik, dan juga menjadikan anda lebih faham dan berfikir dengan lebih logik tentang apa yang berlaku di Chelsea.
  1. Yang perlu Diakur: Chelsea adalah pasukan yang menerima tekanan media massa yang paling dahsyat.

Ini adalah kerana reputasi Chelsea sebagai kelab mewah yang berbelanja mahal, mempunyai pemilik yang dikenali ramai, serta mencipta kontroversi seperti kerap memecat pengurusnya, serta masalah peribadi pemain. Ini adalah anda perlu akui, setiap kali perpindahan dibuka banyak media yang sibuk ingin mengetahui perancangan siapa yang dibeli oleh Chelsea sehingga hampir setiap pemain terbaik di atas planet dikaitkan dengan Chelsea. Jadi anda jangan hairan mengapa pihak media sering menjadikan Chelsea sebagai sasaran untuk mendapatkan cerita sensasi. Dan mereka juga bersikap agak bias kepada Chelsea.

Yang perlu Dibangkang: Tekanan media begitu dahsyat tidak bermakna penyokong juga perlu mengikut arus yang sama.

Kadang-kala kita terlalu mengikut emosi dan keterlaluan mengkritik taktikal, pemilihan pemain utama serta urusan jual beli pemain. Chelsea sudah cukup menerima tekanan anda cuba elakkan agar menambah tekanan tersebut. Fungsi penyokong adalah menyokong. Dan mempertahankan kelab anda apabila penyokong pasukan lain mengkritik pasukan anda. Dan yang paling penting ialah jangan terpengaruh dengan dakyah media tersebut.

  1. Yang perlu Diakur: Chelsea adalah pasukan baru.

Jika anda mengikuti Chelsea semenjak zaman Empayar Roman, Chelsea mengalami 3 fasa revolusi iaitu: Generasi Jose Mourinho 2004-2007, generasi selepas Jose Mourinho 2008-2012 dan generasi selepas The Champions of Europe (sekarang). Generasi ke-3 ini sama ketika Roman membeli 14 pemain semasa dia mula-mula menakluki Stamford Bridge. Kejayaan tidak datang dengan segera, ia mengambil masa sekurang-kurangnya setahun untuk Chelsea mula mengutip piala untuk dijadikan koleksi. Namun sama tapi tak serupa, ketika permulaan era Roman tersebut Chelsea hanyalah kelab klasik London yang usang, dimana tiada siapa yang memandang tinggi kepada Chelsea ketika itu berbanding sekarang. Chelsea kini adalah Juara Eropah, dan kelab elit yang mempunyai berjuta-juta penyokong di seluruh dunia. Ternyata malam di Munich tersebut adalah suatu permulaan bukannya suatu pengakhiran.

Yang perlu Dibangkang: Jangan kecewa (jika) kita tidak berjaya musim ini.

Ia adalah suatu proses yang panjang sebelum kita boleh bermimpi indah untuk mengutip piala dan menjadi kelab dihormati didunia. Dimana saya percaya kita akan sampai kesitu suatu hari nanti. Anda buat tak peduli saja atau buat tak reti jika ada penyokong pasukan lain yang mengejek anda apabila kita terlepas 3 piala musim ini. Mereka tidak faham, banyak yang menanti dimasa hadapan. Kejayaan tidak datang dengan mudah. Sekurang-kurangnya kita telah memulakan langkah kehadapan.

Roman is The Next Machiavelli

  1. Yang perlu Diakur: Chelsea hanyalah suatu perniagaan bagi Roman Abramovich.

Chelsea adalah pembelian yang bijak bagi Roman, mendatangkan keuntungan yang besar. Apa juga tindakan beliau hanyalah semata-mata untuk perniagaannya, dan menjaga aset pemegang saham. Jadi dia tidak peduli apa juga bangkangan dari kita, bagi beliau Chelsea hanyalah salah satu (picisan) cabang perniagaan untuk keuntungan peribadi. Kita perlu menerima hakikat bahawa Roman tidak cintakan Chelsea seperti kita pihak penyokong. Dia tidak akan faham soal jiwa sentimen kita terhadap Chelsea. Namun tidak bermakna Roman tidak ambil berat (care) tentang Chelsea. Ini semua adalah hati manusia hanya Tuhan dan Roman sahaja yang tahu

Yang perlu Dibangkang: Roman berkuasa mutlak namun tidak bermakna kita perlu tunduk kepada dia dan pengurusannya.

Penyokong mempunyai hak, dan keupayaan kita sebenarnya mampu menjatuhkan kelab itu sendiri. Tanpa pelanggan tiada perniagaan. Tanpa kita Chelsea tidak akan berdiri. Apabila anda berfikir tentang Chelsea adalah milik Roman dan tiada apa yang kita boleh lakukan anda silap. Chelsea secara literalnya milik Roman, namun secara konseptualnya milik penyokong. Saya bagi contoh
Penyokong Newcastle United yang membantah penukaran nama Stadium St. James Park, akhirnya Mike Ashley akur dengan kehendak penyokong.  

Jadi jika anda tidak berpuas hati dengan keputusan pengurusan Chelsea, anda boleh membantah. Walaupun saya kedengaran agak radikal namun ia tidak mustahil boleh dilaksanakan. Roman adalah Diktaktor, dan menurut sejarah Diktaktor suatu hari akan digulingkan namun tidak pernah dilupakan. Ia bergantung kepada keberanian anda penyokong Chelsea. Anda tidak perlu takut bahawa Roman akan menarik segala dana dilaburkan kepada kelab. Chelsea mampu berdiri sendiri dan membangun tanpa Roman sekalipun. Kerana Chelsea adalah pasukan yang hebat ia datang dari semangat berpasukan bukannya dari tangan Roman. Roman hanyalah manusia bukannya Tuhan. Namun begitu, bilakah masanya ini semua berlaku? Tiada siapa yang mengetahui.

Boleh sesiapa tolong sekeh kepala dia nih??

  1. Yang perlu Diakur: Roman memang tidak mahukan Roberto Di Matteo pada asalnya.

Ada banyak spekulasi tentang sebab mengapa RDM dipecat. Pertama RDM pada asalnya hanyalah interim manager yang menggantikan Andre Vilas Boas. Apabila RDM berjaya Roman memang terkejut dan langsung tidak menduga dengan pencapaian beliau. Roman tidak yakin dengan keupayaan taktikal RDM. Dia mengidamkan orang yang lebih berpengalaman seperti Pep Guardiola. Kedua pengurusan Chelsea tidak sukakan RDM secara peribadinya disebabkan pengaruhnya kepada pemain amat kuat, dia tidak boleh dipermainkan. Ketiga mungkin kerana RDM sering mempertahankan The Old Guards, dimana (ura-uranya) mahu disingkir dengan segera oleh pengurusan Chelsea. Keempat ialah Chelsea tersingkir dari Liga Juara-Juara. RDM memang The Blues yang sejati namun benar kekurangan pengalaman dan pengetahuan taktikal menjadi masalah. Namun dia melaksanakan tugas yang baik (luar biasa) pada awal musim memandangkan pasukan ini baru dibentuk. Personaliti RDM yang disenangi menyebabkan penyokong amat menyayanginya. Kekalahan kepada Juventus hanyalah sebagai satu alasan untuk memecat RDM, sedangkan mereka tahu (RDM juga tahu) dia tidak akan kekal disitu.

Yang perlu Dibangkang: Pemecatan RDM ibarat mencantas pucuk yang baru tumbuh

Pemecatan RDM mungkin adalah perkara yang paling bodoh yang pernah dilakukan Roman. RDM memberikan segalanya untuk pasukannya, dan dia merupakan peminat Chelsea yang sejati dia adalah orang yang benar-benar mahu Chelsea berjaya. Kerana itu dia orang yang paling sempurna untuk membimbing Chelsea. Terdapat persamaan antara Jose Mourinho dan RDM iaitu kedua-duanya sayangkan Chelsea. Mereka menguruskan Chelsea bukan kerana harta yang ditawarkan namun kerana ia adalah tanggungjawab. Permainan menarik yang ditunjukkan merupakan idea RDM dan pembantu-pembantunya. Dan ia merupakan corak permainan terbaik yang pernah disaksikan oleh Stamford Bridge sejak sekian lamanya. Yang menghairankan mengapa Roman beriya-iya mahukan Pep Guardiola kalau bukan kerana corak Tiki-taka nya? RDM telah memulakan revolusi dengan jayanya membawa masuk pemain-pemain berbakat Oscar, Hazard, Marin, Moses. Ia adalah permulaan yang baik, ibarat pucuk yang baru tumbuh. Pemecatan RDM mengganggu proses yang baru bermula itu. Atau dengan kata lain mematikan proses tersebut buat selamanya. Pep Guardiola sekalipun amat bertuah kerana di Barcelona permainan tiki-taka tersebut telah diserapkan kepada pemain-pemain akademi mereka sejak kanak-kanak tersebut mula bermain bola sepak lagi. Apa yang cuba dibawakan oleh RDM ialah paten permainan bola sepak yang belum dijumpai lagi. Paten tersebut mungkin mampu membawa bola sepak ke era baru atau tahap seterusnya. Apabila arkitek disingkirkan, paten tersebut akan hilang atau lesap sama sekali. Memang benar keputusan lebih penting berbanding corak permainan menarik. Namun apa yang RDM lihat ialah masa hadapan, visi dan wawasan yang tidak difahami oleh Roman. Dan yang rugi ialah Chelsea sendiri, kita mungkin suatu hari akan dinamakan sebagai “The Dream Team”. Namun impian itu (mungkin) akan berkubur sahaja.

  1. Yang perlu Diakur: Fernando Torres telah tamat.

Sebelum itu saya ingin membuat kenyataan bahawa saya bukan anti-Fernando Torres. Kita cuba meletakkan diri kita ditempat Torres. Dalam kesemua pemain Chelsea, Torres menerima tekanan yang paling hebat. Dia merupakan pemain termahal, dia merupakan penyerang tunggal kepada pasukan terbaik di Eropah, dia merupakan Juara Dunia dan Juara Eropah, dan juga dibayangi oleh lagenda Didier Drogba. Kesukaran Torres adalah kerana tekanan yang dihadapinya agak berat sebelah dan tidak adil. Kita harus fahami bebanan yang dipikul olehnya. Torres sungguhpun tidak menjaringkan gol dia masih melaksanakan tugasnya dengan baik sebagai sebahagian dari pasukan. Jadi bagaimanana kita harus membantunya ialah dengan menerima dirinya seadanya. Menerima hakikat bahawa dia tidak akan menjadi seperti dahulu lagi, dia bukan lagi pemain yang sama seperti dia di Liverpool dulu. Torres telah tamat dia sudah sampai ke tahap dia tidak boleh meningkat lagi, kerana itu sahaja kemampuannya. Penyelesaian kedua ialah menjualnya (dalam kata yang lebih berhemah melepaskannya), kepada pasukan yang tidak menerima tekanan yang begitu besar seperti Chelsea. Demi menyelamatkan karier dan diri Torres sendiri.

Yang perlu Dibangkang: Melepaskan Torres penyelesaian terbaik namun bukan yang paling bijak.

Roman melaburkan wang yang banyak terhadapnya, ia adalah merupakan suatu pembaziran jika kita menjualnya. Pengalaman Torres amat berguna, dia telah beraksi diperingkat tertinggi dan pencapaian yang diperolehi olehnya merupakan idaman setiap pemain bola sepak. Adalah terlalu sayang melepaskannya pemain yang begitu berpengalaman sepertinya. Torres boleh diberi tanggungjawab yang lebih besar contoh sebagai pemain senior dan juga pemimpin, agar beliau berasa lebih selamat,dihargai, dan dipunyai. Ia mungkin membantu prestasinya diatas padang. Atau juga kehadiran Demba Ba bukan untuk singkirkan Torres namun mengurangkan beban dibahunya. Torres boleh diletakkan sebagai penyerang sokongan bukannya sebagai penyerang utama seperti semula jadinya. Namun Torres harus mengorbankan nafsu menjaringkan golnya demi pasukan. Torres perlu dibantu bukan disisihkan. Namun hanya Torres sahaja yang dapat membantu dirinya sendiri.

Pengacau keharmonian rumah tangga kita

  1. Yang perlu Diakur: Rafa Benitez merupakan genius taktikal.

Kata penyokong Liverpool, Rafa genius dalam taktikal bola sepak. Mungkin benar, beliau memang pakar mengubah taktik yang bersesuaian agar dapat menewaskan pasukan lawan. Dia juga tahu bagaimana mencari taktik yang sesuai dengan pemain. Dia tidak gentar mengambil risiko, dan berani membuat keputusan gila seperti meletakkan David Luiz di bahagian tengah. Dalam aspek ini Rafa berjaya mengubah nasib dan mood Chelsea yang berduka selepas pemecatan RDM. Rafa memang memberi kita kelebihan dan faedah daripada genius sepertinya. Jika Rafa diberi kontrak tetap sekalipun, saya tidak kisah, namun soalnya adakah Rafa mahu atau tidak?

Yang perlu Dibangkang: Niat sebenar Rafa tidak diketahui.

Rafa memang bijak dalam bola sepak dan juga bijak memperdayakan orang disekelilingnya. Rafa mungkin menjadikan Chelsea sebagai batu loncatan buatnya untuk mendapat kerja atau jawatan di kelab yang lebih baik seperti Real Madrid. Buat masa sekarang Rafa hanya melaksanakan tugasnya, dan tidak lebih daripada itu. Dia sedar dia hanya interim manager, kuasa dan masa hadapan Chelsea tidak terletak ditangannya. Dan menurut sejarah, Roman tidak sukakan pengurus sementara. Jadi kemungkinan besar Rafa tidak akan kekal lama. Kini Rafa lebih gemar berdiam diri dan tidak mengeluarkan kata-kata yang berbisa seperti dia di Liverpool dahulu. Kerana dia sedar penyokong Chelsea tidak menggemarinya. Ada beberapa aspek yang tidak saya sukai tentang Rafa seperti dia agak kuat kroni iaitu memberi kelebihan kepada pemain yang senegara dengannya. Dia gemarkan pemain dari Sepanyol, tidak hairan mengapa semasa dia Liverpool, ramai pemain Sepanyol dalam pasukan. Sama ada Rafa benar-benar ikhlas mahukan The Old Guards dalam pasukannya juga tidak diketahui, atau dia tidak peduli. Kerana jika dia dipecat sekalipun dia akan mendapat pampasan yang banyak, dan yang rugi hanyalah Chelsea. Apa yang dapat disimpulkan ialah mengambil Rafa secara tetap merupakan keputusan bijak namun risikonya perlu difikirkan. Kecuali jika sesuatu berlaku dalam tahun ini, tiba-tiba Rafa benar-benar mahu membimbing Chelsea dan menunjukkan keikhlasannya.

  1. Yang perlu Diakur: The Old Guards akan tinggalkan Chelsea juga suatu hari nanti.

Kata Frank Lampard tiada yang kekal selama-lamanya. Generasi tentera Tua Jose Mourinho akan tamat suatu hari nanti. Chelsea bukan seperti kelab lain, yang boleh menawarkan kontrak berterusan kepada pemain veteran mereka. Steven Gerrard di Liverpool juga ditawarkan bermain selama mana yang dia mahu. Sama ada dari aspek kewangan atau kuasa politik dalaman, Chelsea mahu singkirkan pemain-pemain The Old Guards tersebut. Penyokong Chelsea harus terima hakikat bahawa lagenda-lagenda kelab tidak akan berada di Stamford Bridge selamanya untuk memberi kemenangan kepada pasukan.

Yang perlu Dibangkang: Kenapa menyingkirkan mereka sekarang?

Jika memecat RDM adalah perkaran terbodoh yang dilakukan oleh Roman, menyingkirkan The Old Guards adalah di nombor 2.The Old Guards masih diperlukan. Itu kebenaran yang kita harus terima. Bukan satu kebetulan bahawa prestasi Chelsea semasa November merosot dengan kecederaan Frank Lampard dan John Terry. Chelsea perlukan pemimpin, dan apabila mereka tiada Chelsea mula hilang arah. Pemain muda dan baru terutamanya perlukan pemain yang lebih berpengalaman, agar mereka terus berada di landasan yang betul.

Apa yang saya tulis bukannya mahu anda mengikut apa yang saya katakan. Namun ia cuma membantu anda membuat analisis dan berfikir dengan logik.Maka sama ada anda dipihak yang akur atau membangkang. Semuanya ditangan anda sendiri.