Friday, May 18, 2012

Chelsea Telah Ditakdirkan Untuk Menang: Final Liga Juara-Juara Eropah 2011/2012





“Chelsea berada ditangga diluar zon Liga Juar-Juara dalam Liga Inggeris”

“Chelsea tewas dengan jaringan besar kepada Arsenal”

“Chelsea bergelut dalam Liga Juara-Juara dengan tewas kepada Bayer Leverkursen”

“Chelsea dijadikan lauk oleh Napoli 3-1 di tempat lawan”

“Lagenda Chelsea Frank Lampard hanya layak duduk dibangku simpanan”

“Chelsea ditewaskan mengejut oleh West Brom Albion”

Ini semua adalah cerita hampir 3/4 musim 2011/2012 yang dijamin akan menjadi musim paling mengerikan buat Chelsea. Pada bulan Mac 2012, akhirnya selepas menerima tekanan begitu hebat, pengurus muda Andre Vilas Boas dipecat. Seluruh dunia menganggap pemecatan itu bukanlah suatu yg mengejutkan. Dan ramai pihak yang menyalahkan pemain-pemain senior yang menjadi punca kepada musim buruk mereka. The Old Guards dituduh sebagai pengkhianat dan memalukan diri mereka sendiri. Pada ketika AVB masih berkuasa, tiada siapa yang memandang kepada penolongnya yang dipecat daripada West Brom, bekas pemain Chelsea, Roberto Di Matteo. Beliau yang diberikan tugas paling sukar didunia untuk membimbing Chelsea yang telah rapuh, dan punah setelah hilang keyakinan dan tidak lagi mempunyai sebab mengapa mereka perlu terus berjuang dalam musim yang tiada harapan langsung untuk memenangi sebarang piala. Tiada siapa yang menyangka musim yang wajar dibuang ke dalam tong sampah itu, menjadi musim paling gemilang dalam sejarah kelab, tiada siapa menyangka termasuk pemain Chelsea sendiri.

Roberto Di Matteo yang tidak banyak pengalaman, dan tidak melakar kejayaan yang besar dalam karier pengurusannya tiba-tiba menjadi penyelamat The Blues, penyelamat yang ditunggu-tunggu oleh penyokong Chelsea selama ini, bukannya Ancelotti, Mourinho, mahupun Hiddink, sebaliknya Di Matteo yang bakal menjadi pengurus yang membawa kejuaraan Eropah pertama ke Stamford Bridge. Seperti sudah tertulis bahawa Di Matteo dipecat daripada jawatannya, dan kemudian ditakdirkan kembali ke Chelsea dan mengubah sejarah bola sepak buat selama-lamanya.

Chelsea melakukan kebangkitan luar biasa ibarat Singa yang mati berperang dan dihidupkan semula, dalam perlawanan dengan Napoli, semua menganggap adalah mustahil untuk Chelsea mengatasi agregat 2 gol itu. Namun pada malam yang luar biasa itu, The Old Guards frasa dipopularkan oleh media British, merujuk kepada Lampard, Drogba, Terry yang dikritik dengan teruk atas pemecatan AVB, tiba-tiba membuktikan kepada dunia mengapa mereka adalah lagenda dalam bola sepak Inggeris. Kaki-kaki yang tua itu, masih mempunyai semangat juang yang tinggi, yang menyebabkan kudrat-kudrat muda berasa malu dengan mereka. Mereka menjaringkan 3 gol, dan seterusnya Ivanovich menjaringkan 1 gol untuk memusnahkan defisit 2 gol Napoli. Tiada apa yang mustahil dalam bola sepak. Namun itu bukan pengakhirannya. Dalam perlawanan dengan Benfica juga Chelsea masih lagi pasukan Underdog, kata mereka jika Manchester United gagal, mampukah Chelsea? Namun Chelsea tetap melangkah gagah, walaupun diselubungi kontroversi, namun Chelsea telah pun beberapa kali menjadi mangsa kekejaman bola sepak. Tuah mungkin menyebelahi Chelsea kali ini. Chelsea menang untuk bertemu pasukan yang datang dari planet lain Barcelona, pasukan yang menyingkirkan mereka dengan cara yang kejam pada 2009. Dendam yang tidak berkesudahan, hak Chelsea yang sepatutnya ke final untuk kali kedua musnah akibat pengadil yang tidak bijaksana.

Belumpun perlawanan bermula, awal-awal lagi orang ramai meramalkan Chelsea bakal menjadi belasahan Barcelona. Mustahil Chelsea akan menang, kosong peratus peluang untuk menang. Malah menjadi bahan ketawa orang ramai, tiada yang yakin dengan Chelsea, hanya pemain-pemain Chelsea sahaja yang mempercayainya. Kata mereka Chelsea terlalu tua, lembab, tidak mempunyai seni dalam permainan mereka. Mustahil untuk mengatasi kelab Catalunya itu yang terdiri daripada pemenang-pemenang piala dunia, dan pemain terbaik dunia 3 kali. Chelsea pasti akan terpegun dengan keindahan bola sepak Total Football. Malam yang menjadi detik paling diingati oleh penyokong Chelsea di Stamford Bridge, Barcelona yang menguasai perlawanan sebanyak 70 peratus, ditewaskan oleh gol jaringan Didier Drogba pemain dikritik semasa menyumpah dan mengamuk kepada pengadil Ovrebo 3 tahun lepas. Seperti telah tertulis bahawa kali ini Tuhan memberikan Drogba satu peluang lagi. Statistik nampak tidak langsung berguna dalam bola sepak, Chelsea telah menunjukkannya. Dalam perlawanan kedua Chelsea yang mendapat kritikan hebat atas permainan mereka semasa perlawanan pertama, kata mereka Park the bus depan pintu gol. Namun perlawanan kedua, yang dikatakan menjadi pesta gol untuk Barcelona, menjadi malam paling diingati dalam sejarah bola sepak dunia, bahawa tidak ada yang mustahil didunia ini, dan keajaiban Tuhan yang sering didengari akhirnya disaksikan sendiri pada malam di Nou Camp. Chelsea kehilangan 1 pemain, ketua pasukan John Terry akibat kad merah, dan Cahill yang cedera, ini bermakna hanya tinggal Ivanovich sahaja yang benar-benar pemain pertahanan tengah. Kehilangan 2 pemain itu dirasai hanya beberapa minit selepas itu, Barcelona menjaringkan 2 gol. Pada ketika itu, penyokong Chelsea menyangkakan semuanya sudah berakhir, namun pemain Brazil, Ramires, entah dari mana datangnya, menyambut hantaran Lampard, dan menjaringkan gol yang begitu cantik, menyebabkan semua orang didunia terpaku dan terkejut. Pemain itu telah pun disebut-sebut sebagai lagenda Chelsea. Tidak mempedulikan kad kuning yang diterima dan memastikan beliau tiada di final. Wira sejati The Blues itulah Ramires. Chelsea yang kelihatan lesu dan tiada harapan kini kembali bernyawa. Semasa separuh masa kedua, penyokong Chelsea tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini, dan juga gusar dengan keadaan yang kurang 1 pemain, semestinya Barcelona akan menyerang habis-habisan. Dan kegusaran itu semakin membimbangkan apabila Barcelona dihadiahkan sepakan penalti. Pemain terbaik dunia Lionel Messi menyepak bola dan melantak terkena palang, menjadi malang berpanjangan buat pemain itu, kemarau gol menentang Chelsea sebanyak 8 perlawanan. Ketika itu, seolah-seolah Tuhan menyebelahi Chelsea. Hanya Tuhan sahaja yang dapat membantu 10 orang pemain Chelsea yang berjuang bermatian utk memastikan tempat mereka ke final. Kemudian pemain telah disumpah selama bertahun-tahun lamanya semenjak kehilangan prestasi terbaiknya, Fernando Torres yang berseorang dihadapan, apabila semua pemain Barcelona menyerang kubu lawan, menjaringkan gol yang paling penting dalam kebangkitannya, gol berharga 50 Juta. Walaupun ia bukanlah gol yang kritikal dlm permainan itu, namun ia sangat ironik bahawa orang yang menjaringkan gol itu, ialah Fernando Torres yang ditinggalkan oleh skuad Sepanyol selepas prestasi hambarnya beberapa tahun ini, seolah-seolah pengakhiran yang sempurna ibarat penglipur lara kepada sebuah kisah dongeng, wira tumpul yang telah lama dilupakan, kembali untuk mengakhiri rejim terbaik dunia Pep Guardiola. Wira-wira Chelsea yang memenangi perlawanan tersebut dengan kudrat, keringat dan semangat Singa mereka, dan bukannya dengan duit Roman Abromovich.

Chelsea terselamat daripada perlawanan yang paling banyak diperdebatkan dalam bola sepak dunia. Kerana ia bukan sekadar perlawanan untuk mendapatkan tempat ke final, namun ia adalah perdebatan antara idealogi dan falsafah bola sepak, bagaimana Beautiful football dikalahkan oleh Ugly Football, bagaimana tiada yang mustahil dalam bola sepak, bagaimana Kuasa Tuhan mengatasi segala-segalanya, bagaimana manusia tidak mampu melawan takdir, bagaimana orang ditindas itu akhirnya mendapat pembelaan. Chelsea akan lebih banyak kerugian jika kalah perlawanan ini, bukan sekadar tempat ke Liga Juara, malah perjuangan mereka selama ini kelihatan sia-sia sahaja. Jika mereka menang mereka akan mereka akan mengubah selama-lamanya perspektif orang ramai tentang kelab Chelsea, bahawa Chelsea tidak pernah membeli kejayaan, kerana mereka juga tidak terkecuali seperti juga pasukan lain, mengalami kegagalan, kekecewaan, kegemilangan, dan kejatuhan, kebangkitan, sebelum akhirnya mereka di iktiraf oleh semua sebagai kelab yang terbaik di Eropah. Entri ini bukannya untuk meramalkan siapa yang menang, kerana sudah tentu sebagai penyokong Chelsea akan menjangkakan Chelsea akan menang. Dan juga mengapa Chelsea akan menang? Kerana ia sudah ditakdirkan begitu, sudah pun tertulis, tiada siapa yang mampu menghalang Chelsea untuk menjulang piala yang paling penting didunia ini.

Namun hanya Tuhan sahaja yang mampu menghalangnya.

No comments:

Post a Comment