Thursday, April 26, 2012

Sila beri tunduk hormat kepada Chelsea The Magnicent: Cerita tentang perjuangan menentang kemustahilan, Barcelona Vs Chelsea Liga Juara-Juara Eropah 2011/2012 Bahagian II







Chelsea tidak ada sejarah yang hebat seperti Manchester United, mahupun Liverpool, Real Madrid, AC Milan, atau Barcelona. Dimana setiap pemain mereka amat bangga dapat menyarung jersi pasukan mereka. Semua pasukan juga memandang tinggi kepada mereka, dan juga amat digeruni sungguhpun perlawanan belum bermula. Kebanggaan dan maruah kelab ini sesuatu yang tidak pernah wujud di Chelsea. Mereka hanya dipandang sebagai kelab kaya, yang ‘membeli’ kejayaan, dan mempunyai pemilik Russia yang gila memecat orang. Tidak pernah ada yang menghormati Chelsea, sungguhpun Chelsea telah memenangi banyak piala dan antara pasukan paling konsisten dalam Liga Juara-Juara. Namun Chelsea tidak mendapat pengiktirafan dan penghormatan yang sewajarnya. Misi Chelsea sebenarnya bukan hanya memenangi piala, namun mengubah mentaliti orang ramai tentang mereka. Dan kini tibalah masanya Chelsea menunjukkan kepada semua, mereka adalah pasukan yang hebat. Kerana mereka sememangnya layak.

Tanggal 18 April, selepas Chelsea membuat comeback paling sensasi dalam perlawanan dengan Napoli. Kini tibalah masa yang ditunggu-tunggu oleh penyokong Chelsea dan juga penyokong pasukan-pasukan Liga Inggeris yang lain, perlawanan Mega Chelsea lawan Barcelona. Semua orang ingin menyaksikan bagaimanakah Chelsea akan ‘diajar’ oleh Barcelona, dan adakah akan ada kontroversi yang berlaku seperti 3 tahun lepas? dan adakah Chelsea akan berjaya membalas dendam terhadap Barcelona? Misi mustahil Chelsea seperti yang dikatakan oleh sesetengah pengkritik, dan Chelsea hanya dijadikan bahan ketawa apabila kami percaya yang kami boleh menang. Chelsea yang pada mulanya nampak terancam apabila Alexis terlepas dari kawasan penalti, namun sepakannya terkena palang. Dan kemudian serangan Barcelona datang bertubi-tubi, namun Chelsea dan Cech masih mampu bertahan. Pada mulanya semua sudah maklum yang Barcelona akan menjadikan Chelsea sebagai ‘lauk’. Namun sekian lama, Barcelona masih gagal mencari gol, sungguhpun peluang terhidang didepan mata, namun Chelsea terus bertenang dan bersabar dengan keadaan mereka langsung tidak dapat memegang bola. Dan kesabaran mereka akhirnya terbalas, apabila pemain Chelsea yang sentiasa menjadi Silent killer kepada Barcelona, iaitu Frank Lampard mencuri bola daripada kaki bukan daripada sesiapa tapi Lionel Messi pemain terbaik dunia 3 kali, Lampard melihat ruang kiri yang kosong, menghantar bola cantik kepada Ramires, dan beliau menghantar bola ke kawasan Barcelona yang kosong dan seterusnya disudahkan oleh pemain yang mengamuk di Stamford Bridge 3 tahun lalu, Didier Drogba. Dan mengejutkan Barcelona dan seluruh dunia yang sedang menyaksikannya. Pemain yang digelar Singa Afrika itu memberi tabik hormat kepada penyokong Chelsea yang kegembiraan tidak terkata. Dan jaringan itu ditakdirkan sebagai jaringan tunggal perlawanan, dan Barcelona yang terus mengasak kubu Chelsea namun masih gagal mencari penyudah. Chelsea memaksa mereka berada dalam tekanan yang amat tinggi, dan semakin kecewa. Chelsea yang dibimbing oleh John Terry terus enggan mengalah. Dan apabila wisel penamat dibunyikan, seluruh bumi telah menjadi saksi bahawa Impossible is nothing. Namun masih ada yang menganggap Chelsea cuma bernasib baik. Namun mereka tidak tahu ada lagi yang Chelsea belum tunjukkan kepada dunia.
Pada 24 April 2012, Barcelona yang semakin terdesak selepas tewas dalam perlawanan El Classico dengan Real Madrid, menggunakan formasi membunuh diri atau berisiko 3-3-4. Jelas sekali mereka ingin mencari seberapa banyak gol yang boleh, dan seperti yang dijangkakan Barcelona dari awal lagi ingin mencari gol, dan akhirnya berjaya apabila pemain pertahanan Chelsea yang terleka gagal menyekat Sergio Busquet, penjaring yang tidak dijangka. Chelsea yang tersentak, namun mereka tidak tahu ada banyak lagi kejutan yang akan mendatang. Seperti pertembungan mereka ini sentiasa akan ada kontroversi, Pahlawan Chelsea Terry dibuang padang, atas kesalahan melutut peha Alexis. Sepatutnya dia hanya dikenakan kad kuning, namun kad merah terlalu melampau. Chelsea semakin gelabah dengan kehilangan Cahill akibat kecederaan, dan kemudian ketua mereka. Tidak lama selepas itu, Iniesta menjaringkan gol kedua. Ketika itu kelihatan seperti Chelsea bakal dibelasah. Chelsea yang meletakkan Ivanovic di pertahanan tengah bersama Bosingwa, dan Ramires diletakkan di pertahanan kanan. Penyokong The Catalans baru saja meraikan kejayaan mereka, namun tersentak apabila 2 minit selepas itu, Ramires yang baru sahaja mendapat kad kuning yang akan memastikan beliau tidak beraksi di final, tiba-tiba seperti dirasuk melakukan larian ‘berani mati’ dari sebelah kanan, memberikan bola kepada Lampard sekali lagi menunjukkan ciri pemusnahnya, hanya perlukan satu hantaran sahaja berbanding 169 hantaran Xavi, Lampard menjadikannya terlalu mudah, pemain itu masih boleh melakukan hantaran sambil minum Pepsi sekalipun masih boleh menghasilkan gol. Pemain veteran England itu melakukan hantaran digelar ‘pass of the match’, kepada Ramires yang membuat larian sepantas kilat, dan melambungkan bola melepasi penjaga gol Barcelona Valdes, dan tepat masuk ke jaring. Gol yang amat cantik, kelihatan seperti telalu mudah buat pemain Brazil itu. Suasana stadium yang bingit menjadi sunyi sepi selepas jaringan yang pasti dibanggakan oleh pemain Barcelona sendiri juga. Ramires yang ‘mengorbankan’ finalnya telah menjadikan dirinya sebagai kebanggaan Chelsea yang pasti akan diceritakan kepada anak-anak kecil di masa akan datang. Barcelona mendahului 2-1, namun masih ketinggalan dari segi jaringan ditempat lawan. 




Pada separuh masa kedua, Barcelona kembali untuk menyerang habis-habisan kubu Chelsea. Sehingga Didier Drogba yang menukar posisinya sebagai pertahanan kiri, melakukan terjahan menjatuhkan Cesc Fabregas, dan pengadil memberikan sepakan penalti. Ketika itu semua orang percaya impian Chelsea akan berkubur. Cech yang bertenang sedang menghadapi pemain terbaik dunia Lionel Messi, namun Messi menyepak bola tersebut tinggi dan terkena palang. Detik itu menyedarkan pemain-pemain Chelsea bahawa, Tuhan sedang melindungi mereka. Dan mereka terus memasang impian ke final, merealisasikannya menjadi kenyataan masih ada. Kemudian beberapa percubaan Barcelona termasuk percubaan Messi terkena tiang, dan gol mereka yang dibatalkan kerana off-side. Pemain Chelsea terus bertahan dan enggan mengaku kalah, mereka penuh disiplin, dan terus mempercayai satu sama lain. Pada minit ke 80 Drogba dikeluarkan digantikan dengan penyerang yang dilupakan oleh pasukan kebangsaan Sepanyol, Fernando Torres. Seluruh stadium Nou Camp takut, Torres kembali dan menghancurkan mereka seperti mana 8 jaringannya sebelum ini semasa di Athletico Madrid. Barcelona yang kelihatan kecewa, tertekan, dan terdesak sehingga semua 10 pemainnya menyerbu gawang Chelsea. Kemudian bola tinggi dari Ashley Cole mencari Fernando Torres yang keseorangan di hadapan, membawa bola dan dengan yakin melepasi Valdes, sama seperti golnya semasa di final Euro 2008, dan bola mencecah jaring. Roman Abramovich tahu 50 juta yang dibayarnya adalah untuk jaringan tersebut. Dan semua orang di Nou Camp tahu, ketakutan mereka menjadi kenyataan, dengan El Nino memusnahkan impian mereka untuk final sekali lagi. Semua pemain Chelsea meraikan jaringan tersebut, hasil penat lelah, kesungguhan, dan semangat luar biasa mereka terbalas. Kemudian wisel penamat dibunyikan dan bergegarlah bumi Catalonia, menandakan perjuangan Barcelona berakhir, dan menandakan berakhirnya era total football mereka. Chelsea melangkah ke akhir dengan menewaskan pasukan terbaik dunia, dan mendiamkan semua pengkritik mereka. Malam yang menjadi saksi kepada kejadian luar biasa yang berlaku dengan pelbagai insiden dalam satu perlawanan epik yang hebat, yang pasti menjadi cerita perjuangan yang akan terus diingati oleh semua peminat bola sepak seluruh dunia. Dan yang paling penting sekali ialah Chelsea telah mendapatkan kehormatan yang sewajarnya daripada komuniti bola sepak. Walaupun Roman yang menghabiskan 1 billon untuk Chelsea, dan tidak kira sama ada ia satu politik atau agenda peribadi, namun malam tersebut membuktikan pasukan ini mempunyai roh dan hidup. Final? Untuk apa lagi final, kerana kita telah menyaksikan satu perlawanan hebat, dan di final nanti Chelsea bukannya turun untuk berjuang lagi, namun mengutip hadiah kemenangan atas perjuangan mereka itu. 





No comments:

Post a Comment